RABI'AH AL ADAWIYAH
Perindu Cinta Allah
|
Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang
terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah
berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari
segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya
bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan
sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam
dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah
mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari
kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi,
menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul
dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar
tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan
baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri.
Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan
tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi
mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir
daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia
mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan
yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri
begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal
kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus,
mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.
Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit.
Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah
juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman.
Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun
dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya,
dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah
yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang
sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan
malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri
kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu,
daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah,
mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah
dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang
mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir,
tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi,
tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan
aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu
yang menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang
telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak
kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan
kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat
kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang
dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di
dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut
bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang
terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan
setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi
lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing,
Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang
pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku
ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan
takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau
menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau
menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga
dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran
untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang
mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah
milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh
itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan
lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan
akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia
sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya
setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam
sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam
kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar
bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam
mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk
membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan
rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar
dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang
takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk
beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api
neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak
kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu
kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah
aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk
diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada
135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah
meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari
satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang
bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk
syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum
nyata orang yang sabar.”
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung
perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada
insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau
yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya
hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya
yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus
daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin
kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati
kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa
subur.
Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat
sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu
perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini
sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia.
Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung
kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap
Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah.
Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi
No comments:
Post a Comment